Mangsa migrain selalunya tidak
mampu menjalankan tugas seharian, malah ada yang tidak boleh makan,
minum dan hanya menghabiskan masa di bilik tidur.
Migrain
Ialah sejenis
penyakit kepala yang kronik. Mangsa migrain selalunya tidak mampu
menjalankan tugas seharian, malah ada yang tidak boleh makan, minum dan
hanya menghabiskan masa di bilik tidur. Kira-kira 12 peratus daripada
golongan dewasa di negara ini menghidap migrain dan sebahagian besar
daripada mangsa adalah wanita yang masih didatangi haid. Apabila
mengalami migrain, pesakit biasanya mengalami sakit kepala yang teruk.
Punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui sehingga kini.
Bagaimanapun, pakar perubatan berpendapat faktor genetik atau baka
adalah salah satu penyebab migrain.
Di kalangan kanak-kanak dan
orang tua, khususnya yang berusia 55 tahun ke atas, sakit kepala yang
dialami mungkin bukan disebabkan migrain, sebaliknya berpunca daripada
penyakit lain yang lebih serius. Migrain juga sering dikaitkan dengan
pengambilan banyak coklat, keju dan minuman keras. Malah, ada yang
mengatakan tekanan perasaan sama ada di rumah ataupun pejabat juga boleh
menyebabkan migrain.
Migrain terbahagi kepada dua jenis iaitu
migrain yang wujud bersama aura dan migrain tanpa aura. Aura ialah
perasaan ataupun fenomena yang subjektif dialami individu sebelum
mendapat serangan penyakit. Pesakit migrain dengan aura mengalami
pelbagai gejala seperti pandangan menjadi kabur dan nampak garisan
seperti zig-zag ataupun gelombang seperti situasi yang dialami apabila
berada di tengah jalan dalam cuaca panas terik. Kadangkala, penglihatan
pesakit juga terhalang dan keadaan menjadi lebih teruk apabila pesakit
tidak dapat melihat buat sementara waktu. Keadaan ini dikenali sebagai
skotoma. Pesakit juga ada kalanya mengalami kebas sebelah tangan ataupun
lemah anggota badan, terutama kaki dan tangan. Aura selalunya berlaku
dalam tempoh beberapa minit hingga satu jam. Pesakit kadangkala mendapat
migrain selepas satu hari mengalami aura. Bagaimanapun, ada juga
pesakit yang tidak mengalami aura dan terus mendapat migrain.
Serangan migrain
Kira-kira
40 peratus migrain dialami di seluruh kepala, 40 peratus bermula pada
sebelah kepala dan merebak ke seluruh kepala, manakala 20 peratus lagi
bermula pada sebelah kepala dan tidak merebak ke seluruh kepala.
Serangan migrain datang secara berperingkat dan kesakitan mencapai tahap
maksimum selepas tempoh beberapa jam. Bagaimanapun, migrain selalunya
dialami antara tiga hingga empat jam dan maksimumnya mengambil masa
antara tiga hingga empat hari.
Apakah gejala migrain?
Apabila
seorang pesakit menemui doktor dan mengatakan mereka mengalami sakit
kepala setiap hari, itu tidak bermakna mereka menghidap migrain kerana
migrain selalunya menyerang mangsa seminggu sekali ataupun enam bulan
sekali. Pesakit selalunya kelihatan pucat dan berpeluh-peluh serta
mengalami komplikasi migrain. Mangsa juga kadangkala mengalami strok
sementara. Dalam keadaan ini, mangsa mengalami lumpuh sebelah badan,
tetapi keadaan itu hanya sementara dan akan pulih seperti biasa. Keadaan
ini berlaku berikutan pengecutan urat darah dalam otak.
Gejala lain migrain
Loya dan muntah-muntah. Kira-kira 70 peratus pesakit berasa loya dan sebahagian daripadanya muntah-muntah.
Penglihatan
pesakit menjadi begitu sensitif. Contohnya, mereka mengadu sakit mata
apabila melihat cahaya. Keadaan itu dikenali sebagai fotofobia.
Pendengaran
turut menjadi sensitif dan keadaan itu dikenali sebagai fonofobia.
Dalam keadaan ini, pesakit mendengar lebih kuat dan jelas setiap bunyi
di sekelilingnya walaupun ia perlahan.
Kemerah-merahan pada kulit, pada keliling mata ataupun dahi.
Badan berpeluh.
Bercakap dengan suara perlahan. Pesakit tidak bercakap kuat kerana ia lebih menyakitkan.
Kepala terasa pening.
Pesakit terasa persekitaran mereka bergerak-gerak seperti menaiki bot, mabuk laut ataupun vertigo.
Pitam dan boleh menyebabkan pesakit mengalami kecederaan anggota badan.
Apakah pemeriksaan yang dilakukan?
Tiada
ujian khusus bagi mengesan migrain. Pakar perubatan akan bertanya
mengenai sejarah kesakitan yang dialami pesakit dan imbasan otak hanya
dilakukan apabila pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda
menghidap migrain. Antara faktor yang memungkinkan imbasan otak
dijalankan adalah lumpuh separuh badan lebih daripada seminggu, sakit
kepala berterusan lebih daripada tiga hari dan bengkak urat saraf.
Apakah rawatan bagi penyakit migrain?
Rawatan
dapat dibahagikan kepada dua kaedah iaitu rawatan serangan dan
pencegahan. Melalui rawatan serangan, pesakit dinasihatkan supaya
berehat di dalam bilik yang gelap dan sunyi. Mereka diberi ubat seperti
Paracetamol dan apabila perlu mereka diberikan Ubat Penahan Sakit dan
Radang Bukan Steroid (NSAID).
Sekiranya kesakitan masih
berterusan, doktor akan memberi ubat terkini iaitu Sumatriptan sama ada
melalui suntikan ataupun ditelan. Kira-kira 80 peratus pesakit
menunjukkan tindak balas positif pada ubat itu. Bagi pesakit yang sering
muntah, mereka diberikan ubat Ergotamine yang perlu dimakan sama ada
ditelan ataupun dimasukkan ke bawah lidah ataupun melalui suntikan.
Thursday, 27 September 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment